Tuesday, January 1, 2008

PROJEK TERJEMAHAN TAFSIR AL-MUNIR


Pembangunan ilmu di kalangan umat Islam merupakan perkara yang tidak boleh dipinggirkan. Malah penekanan terhadapnya harus seiring dengan aspek-aspek pembangunan fizikal yang lain. Dalam konteks masyarakat Islam di Malaysia, antara perkara yang tidak dapat dinafikan menjadi elemen penyumbang ke arah pembangunan ilmu dan pengisian rohaniyyah ialah program-program pengajian dan tadahan kitab di masjid-masjid, surau-surau dan di tempat-tempat pengajian tidak formal lainnya. Namun yang kerap menjadi persoalan ialah pemilihan kitab yang sesuai untuk ditelaah dan dibahaskan serta bersifat kotemporari bagi mencapai hasrat tersebut.

Bertolak dari senario tersebut, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Intel MULTIMEDIA AND PUBLICATION (iMAP) merasa terpanggil melakukan usaha penterjemahan Kitab Tafsir al-Munir, dengan hasrat melonjakkan lagi tahap kefahaman masyarakat dalam menanggapi pelbagai persoalan yang berhubungkait dengan Islam. Disamping menyegarkan lagi budaya cintakan ilmu dalam kerangka membantu merealisasikan masyarakat madani.

Hasrat dan dorongan untuk menterjemahkan Tafsir al-Munir tersebut telah diusulkan kepada kami oleh al-fadhil Ustaz Haji Ghazali Abdul Hamid, Naib Yang DiPertua II PUM pada awal tahun 2001. Berikutan itu, PUM dan iMAP telah berkerjasama membentuk satu panel penterjemah yang terdiri daripada ahli akademik yang berwibawa dari pelbagai bidang kepakaran agama untuk memastikan bahawa hasil penterjemahan tafsir ini akan merangkumi semua aspek. Dalam pada itu, kerja-kerja merisik dan memohon kebenaran mendapatkan Hak Penterjemahan dan Penerbitan Eksklusif Tafsir al-Munir bagi kesemua 16 jilid kitab asal Tafsir al-Munir dari Dar El-Fikr, Syiria juga dilakukan serentak.

Alhamdulillah, keizinan mendapatkan hak penterjemahan dan penerbitan eksklusif telah dicapai dengan termeterinya satu perjanjian bertulis di Kuala Lumpur di antara Dar El-Fikr, Syiria (yang diwakili sendiri oleh Pengarang kitab asal, Prof Dr. Wahbah Mustafa al-Zuhaily dan PUM/iMAP (yang diwakili oleh Pengarah Urusan iMAP) pada 23hb. Jun 2001.

Pengarang kitab ini, Prof. Dr. Wahbah Mustaffa al-Zuhaily merupakan ulama’ akademis dan tokoh ilmuan Islam tersohor. Beliau berasal dari Damsyik, Syria. Beliau juga telah menulis sekian banyak kitab yang menjadi rujukan seperti al-Fiqh al-Islami (11 jilid – yang diulang cetak 23 kali) dan al-Fiqh al-Islami wa Adilatuhu dan lain-lain.

Kita asal Tafsir al-Munir ini berjumlah 16 jilid, merangkumi 30 Juzu’ dan secara keseluruhannya mengandungi 10,151 halaman. Meskipun kitab ini besar, namun untuk manfaat pembaca dan umat Islam di rantau ini, PUM / iMAP insyaallah akan mengusahakan penterjemahan keseluruhan 16 jilid tersebut. Untuk peringkat permulaan, penterjemaahan dilakukan secara berperingkat-peringkat dimulai dengan Juzu Amma.

PUM melihat usaha penterjemahan kita Tafsir al-Munir ini sebagai satu sumbangan persatuan yang tidak ternilai dengan wang ringgit terutama kepada masyarakat Islam di Malaysia khasnya dan nusantara amnya.

1 comment:

diyar said...

bukankah kitab tafsir almunir itu adalah karangan syekh nawawi al-bantani(indonesia)?